Zulkifli Ar-Rayyan's

"Word are most powerful drugs used by mankind"


1. Alhamdulillah. Segala puji - pujian bagi Allah Tuhan Sekalian Alam, Pemilik Kerajaan di Langit dan di Bumi.

2. Saya telah mendapat laporan penuh mengenai siasatan beberapa tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada saya dari pihak yang tidak bertanggungjawab bahkan saya tahu siapa dan mengapa kumpulan ini wujud serta motif tuduhannya. Saya juga telah mendapat butiran penuh latar belakang dalang disebalik tuduhan tidak berasas ini.

3. Tidak lain dan tidak bukan ia berpunca dari sikap serta ketidakpuasan hati dari hanya seorang individu, kemudian sanggup melakukan sebesar-besar dosa dengan disebarnya perkara tidak munasabah sebagai jalan 'short-cut'. Bagi mereka yang tidak tahu perkara sebenar, sudah tentu mereka terpengaruh dengan perbuatan dosa ini.

4. Namun saya dinasihatkan supaya untuk kebaikan bersama biarlah identiti dan maklumat tersebut dirahsiakan dan pihak berwajib juga telah ambil maklum mengenai perkara ini.

5. Mengenai siasatan yang dilakukan, saya telah memberi keterangan dan butiran yang pihak berwajib kehendaki tetapi malangnya saya difahamkan pihak 'seberang' gagal memberikan keterangan lisan mahupun bertulis.

6. Sehubungan dengan itu, siasatan terhadap beberapa fitnah tersebut terpaksa ditutup atas persetujuan dan laporan penuh telah saya perolehi.

7. Mengenai tuduhan yang dilemparkan ke atas saya, saya akui ianya sedikit sebanyak mempengaruhi serta menjejaskan nama baik serta imej saya lantas disebabkan itu perkara ini terpaksa saya ketengahkan demi menjaga reputasi dan menyangkal dakwaan tersebut.

8. Ketiadaan bukti dari pihak 'seberang' menyangkal penuh dakwaan yang dituju sekali gus tindakan mereka yang enggan ke hadapan mencerminkan ketakutan mereka. Perkara ini dipandang serious dan saya mahu selesaikannya secara profesional dan adil.

9. Sebaliknya, saya telah mengemukakan hujah serta bukti secukupnya yang diperlukan selain telah mengangkat sumpah seperti yang dinasihatkan.

10. Tegasnya, saya berdiri teguh di atas tembok kebenaran ditambah pula dengan laporan penuh yang telah saya perolehi. Justeru saya menasihatkan kepada mana - mana pihak supaya tidak memburukkan keadaan dengan perkara yang tidak benar.

11. Sesungguhnya saya kesal dengan jalan singkat yang diambil dengan melemparkan tuduhan atau fitnah tidak berasas serta mengaibkan dengan berita yang tidak benar.

12. Kepada pihak 'seberang' dan semua, kini kita berada dizaman ketamadunan usahlah guna jalan singkat yang tidak mendatangkan faedah. Sebaliknya, gunakan masa dan kemahiran yang ada dijalan yang sebetulnya. Usah membuang masa.

13. Selagi saya berada dijalan benar, saya tidak akan gentar dan perjuangan saya akan diteruskan! Semangat saya semakin membara. Sesungguhnya, ini hanyalah ujian, hatta Rasulullah pun diuji dengan bencana fitnah dan sebagainya inikan pula saya dan kita yang hidup diakhir zaman.

14. Jika ada sebarang kecelaruan atau salah faham atau perselisihan pendapat, carilah sebaik - baik jalan yang tidak memberi dosa kepada orang lain. Lebih baik selesaikan dengan cara bersemuka, itu lebih baik.

15. Ringkasan laporan penuh siasatan akan saya muatkan dalam buku autobiografi saya 'Menelusuri Tanah Seni : Tiga Tahun Bersama' yang bakal diterbitkan.

15. Ingatlah sabda Baginda S.A.W bahawa Tidak akan masuk syurga orang yang menbawa fitnah (HR Bukhari & Muslim). Hayatilah firman Allah seperti berikut :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (QS. al-Hujurat: 6)


1. "Pemimpin yang hebat tidak lahir dari bilik kuliah tetapi lahir dari kancah masalah dan mereka yang sanggup keluar dari kepompong rakan sebaya." - Pak Nasir

2. Saya berpegang teguh kepada perinsip tersebut. Seseorang tidak boleh menjadi pemimpin dalam sekelip mata tetapi memerlukan masa yang panjang yang di dalamnya diisi dengan pelbagai pengorbanan, kesakitan, kepayahan dan cabaran.

3. Suatu ketika dahulu saya pernah ditanya seseorang : "Bagaimana untuk melahirkan suatu kepimpinan dalam organisasi." Jawapan saya mudah : "Berikan mereka masalah dan lihat perlakuan mereka dalam menyelesaikannya, mungkin ada yang tumbang dan ada yang gigih menyelesaikannya. Ambil yang gigih tersebut supaya dapat membantu yang tumbang."

4. Apa yang saya cuba ketengahkan ialah, seorang pemimpin itu lahir dari sebuah kegigihan yang memotivasikan dirinya, yang belajar dari kesilapan orang lain dan yang sentiasa waspada akan sekelilingnya.

5. Untuk memimpin juga, perkara asas yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin itu ialah faham akan konsep dan peraturan sekeliling supaya orang yang dipimpin juga faham perkara yang sama seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang faham dan peka.

6. Namun, jika kita lihat hari ini berapa ramai pemimpin yang faham konsep dan peraturan sekeliling ? Bahkan segala peraturan yang ada seolah cuba 'ditikam' dengan mata kasar.

7. Saya pernah bertanya kepada salah seorang calon kepimpinan mahasiswa : "Apa yang awak faham akan konsep UiTM sebagai institusi pendidikan Melayu dan Bumiputera ?" Matanya bersiar-siar seolah mencari jawapan dan mulutnya tersekat-sekat untuk melontarkan hujah. Lantas saya terus memotong percakapannya "Bagaimana anda mahu memimpin sedangkan anda tidak faham konsep utama UiTM ?" 

8. Pemimpin merupakan sebuah tonggak utama dalam sesebuah organisasi apatah lagi dalam kepimpinan mahasiswa. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap dari kita sebagai pemimpin untuk memahami konsep dan peraturan sekitar.

9. Soal utamanya ialah adakah layak seorang pemimpin 'buta' diangkat dan diberi pangkat ?

10. Memetik kata kata John C. Maxwell, "A leader is one who know the way, goes the way, and shows the way." 

11. Jelas di situ bahawa pemimpin itu ialah seorang yang mengerti, yang tahu dan yang faham dengan sejelasnya konsep persekitarannya. Dalam melahirkan kepimpinan mahasiswa, kita bukannya mencari 'Jaguh Sorak' tetapi kita mencari mahasiswa yang serba faham secukupnya mengenai segalanya supaya dapat membantu pihak institusi dan seterusnya dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

12. Saya menyarankan supaya saf kepimpinan di segenap peringkat supaya lebih peka dalam menghasilkan calon kepimpinan. Usah terlalu memikirkan kuantiti tetapi apa yang perlu diberi fokus ialah kualiti!

13. Kepimpinan yang dirintis dengan kefahaman dan ilmu yang secukupnya mampu membawa masyarakat bersama demi melahirkan masyarakat yang serba tahu dan merdeka dari fikiran kuno yang masih mempersoal dan menunding jari.



1. "MPP ialah anak-anak yang hebat. Mereka ini ibarat sandwich yang mengimbangkan kedua pihak yang penting iaitu : Pentadbiran dan Pelajar. Mereka ini umpama staff dan juga student." - Dr. Rani Diana.

2. Ayat ini masih terngiang-ngiang di telinga walaupun sudah tidak lagi menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) namun ayat inilah yang menjadi sumber inspirasi kekuatan dan dorongan sewaktu menjalani hari-hari bergelar MPP suatu ketika dahulu.

3. Jauh di sudut hati, saya merindui suasana ketika bergelar MPP dahulu. Mana tidaknya, MPP seperti sebuah medan perhubungan juga jambatan antara pihak Pentadbiran dan Pelajar. Kedua-dua pihak ini memainkan peranan penting dalam institusi keramat ini.

4. Sebagai seorang Ahli MPP, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mengimbangkan antara kedua-dua belah pihak dan kami perlu bijak dalam setiap langkah dan tutur kata supaya tidak ada pihak yang salah faham, tersinggung dan sebagainya.

5. Namun, tugas kami sering diperkecil dan diperlekeh suara-suara halus yang takut melihat bayang sendiri. Semua pihak perlu faham bahawa tugas kami sebagai MPP merangkumi perkara-perkara yang telah dipertanggungjawabkan dan juga sebagai seorang mahasiswa. Mereka perlu faham bahawa kami bukanlah pekerja sepenuh masa sebaliknya kami juga mempunyai tanggungjawab hakiki sebagai pelajar.

7. Tindakan sesetengah individu yang saban hari menyoal dan mengkritik kami adalah perbuatan yang tidak mencerminkan jati diri sebagai seorang mahasiswa, Seluruh warga institusi perlu mengerti sepenuhnya tanggungjawab kami sebagai seorang pemimpin dan pelajar, bukannya sewenang-wenangnya melemparkan kritikan dan tuduhan yang tidak berasas.

8. Sebagai seorang mahasiswa sepatutnya setiap dari kita perlu ambil tahu dan mengerti apa yang berlaku di sekeliling serta menyokong sepenuhnya perjuangan kami yang mewakili seluruh mahasiswa. Mahasiswa juga perlu bertindak mengikut win-win situation iaitu tidak selalu meminta tetapi sebaliknya perlu memberikan 'sesuatu' buat institusi.

9. Jika mahasiswa sedar hakikat tersebut, saya pasti acuan kesepaduan diantara pihak Pentadbiran dan Pelajar dapat disatukan dengan lebih jitu sekali gus mampu menaikkan serta mengharumkan nama institusi di peringkat yang lebih tinggi lagi.

10. Mahasiswa perlu keluar dari kepompong kebiasaan dan harus keluar dari zon selesa dan berdiri di dunia realiti! Inilah masanya untuk kita bersama mengembangkan nilai dan potensi diri bagi mempersiapkan diri untuk masa depan yang lebih gemilang.

11. Ucapan penghargaan dan terima kasih kami rakamkan buat semua pihak yang mengerti dan memahami tugas kami sebagai seorang MPP dan mahasiswa. Ayuh bersama saf kepimpinan di segenap peringkat terutamanya barisan kepimpinan MPP baharu dalam merealisasikan agenda serta aspirasi untuk semua!

12. Buat barisan kepimpinan baharu, teruslah istiqamah dan tabah dalam landasan ini. Cekalkan hati dan perbaharui niat agar tidak terpesong dari landasan sebenar. Apa yang penting ialah, ikhlaskan hati dan berkhidmatlah sebaiknya. Tetaplah menjadi hamba walau dilayan seperti Raja!

Ayuh menjadi generasi Al-Fateh. Mudanya bermanfaat kepada semua...







1. Selama 273 hari, saya memegang amanah sebagai Exco Komunikasi Korporat, Alumni, Kelab & Fakulti untuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2014/2015 UiTM Kampus Alor Gajah Melaka. Suatu tempoh yang lama dan juga yang paling sekejap diantara barisan MPP sebelum ini.

2. Tugas yang diberi saya sahut sebolehnya, berbekalkan 710 majoriti undi dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media. Saya bersama rakan seperjuangan yang lain untuk bersama meneruskan aspirasi dan hasrat warga kampus dan juga harapan besar yang diberikan pihak fakulti.

3. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya tatkala diumumkan memenangi kerusi pilihanraya tersebut pada 8 Disember 2014 ialah Fakulti dan Universiti. Bagaimana saya dan Miza (selaku MPP Masscomm juga tatkala itu) untuk memberikan sesuatu kepada Fakulti dan apa yang kami perlu lakukan buat Universiti.

4. Setelah segala urusan berkaitan pentadbiran MPP selesai. Kami berusaha mengembleng buah fikir dan idea untuk bersama melakukan anjakan paradigma kepada Universiti. Kerana dibahu kamilah terpikulnya harapan lebih 7000 pelajar yang setia menanti sesuatu dari kami. Doa dan tawakal kami panjatkan kepada Dia saban hari agar semua urusan warga institusi dipermudah.

5. Saya akui berada di landasan ini tidak mudah. Hati perlu kental menghadapi waktu sukar, tidak mudah goyang pada cabaran yang menggugah. Pelbagai ujian dan cabaran kami lalui bersama sepanjang bergelar MPP dan tidak kurang juga pelbagai penghargaan yang diterima dari pelbagai pihak. Benarlah kata bijak pandai : Pemimpin itu diuji tak rebah, dipuji tak megah.

6. Memikul tanggungjawab portfolio tersebut juga tidak mudah, saya perlu mengimbangkan ke semua stakeholder yang terlibat seperti pihak Pentadbiran, Kementerian/Jabatan Kerajaan, NGO, IPTA/IPTS lain, pihak Alumni, Para Pensyarah, Pelajar, Pihak Fakulti dan Kelab Persatuan Dalaman serta lain-lain. Kayu ukur kepada komunikasi sesebuah organisasi tidak mudah dan itulah yang perlu saya jaga agar semuanya selaras dengan matlamat kami.

7. Alhamdulillah. Melalui portfolio saya, pelbagai usahasama dan perubahan telah berjaya dibentuk termasuk kerjasama dua hala dengan institusi luar serta membawa kepada penubuhan Sekretariat Persatuan Am (SPA) dan pemantapan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) yang merupakan dibawah bidang kuasa saya ketika itu. 

8. Beberapa inisiatif juga telah kami ambil untuk Fakulti pada ketika itu termasuk menyeru pihak Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media khususnya Kelab Komed yang bernaung dibawahnya untuk melakukan suatu perubahan melalui dasar pandang ke luar yang saya tekankan sejak menyandang jawatan YDP Persatuan Bahasa Melayu iaitu membawa warga Universiti memainkan peranan bersama pihak luar termasuk mengadakan beberapa program bertaraf antarabangsa seperti yang dilakukan Persatuan Bahasa Melayu dan SPA.

9. Secara peribadinya, saya amat mengagumi kerjasama baik yang dihulurkan oleh Fakulti dan Kelab Komed dibawah jagaan Saudari Shalina Sofia yang amat komited dalam memastikan kesepaduan dan pemantapan institusi dapat dicapai. Tahniah diatas komitmen tersebut!

10. Sekalung penghargaan juga saya ucapkan buat semua pihak termasuk Kementerian/Jabatan Kerajaan, Pihak Pentadbiran, HEP, HEA, pihak fakulti, semua bahagian dan unit dalaman UiTM Melaka, para pensyarah, para pelajar, rakan sejawatan serta organisasi dan individu luar yang memberikan kerjasama sepanjang kami bergelar MPP. Juga kerana telah banyak mengajar saya pelbagai ilmu dan perkara yang tidak saya ketahui. Moga Allah membalas segalanya, insya-Allah.

11. Buat barisan kepimpinan baru di segenap peringkat, buatlah yang terbaik dan jangan sesekali tanya apa negara boleh beri pada anda, tapi sebaliknya tanya apa yang anda boleh berikan kepada negara! Bersamalah dalam saf kepimpinan di semua peringkat dalam menghasilkan graduan yang berkualiti tinggi dan generasi Rabbani yang disegani.

12. Kami Mantan MPP 14/15 sentiasa bersama kalian insya-Allah. Selamat Maju Jaya dan Terima Kasih!






Telah di pilih daripada pohon mengkuang terbaik
di tanah gembur berlembah subur makmur ini
Telah dipilih daripada daun tua terbaik-segar dan lebar
dicantas dan dihimpun daripada tiga pohon terbaik
dijemur di bawah terik mentari namun tetap kukuh ia
dilayat menjadi jalur jemalur namun tetap liat ia
direndam dengan tiga rupa warna semakin cantik
di jemur lagi dan di lurut berkali – kali semakin lembut ia

Telah di pilih daripada penganyam tikar termahir
diatas bumi indah aman makmur ini
halus jemari menyusun dan menyilang jaluran
menganyam petak – petak warna dengan akal seni
tidak mudah seperti yang kita sangkakan
jaluran harus tepat menyisip atas bawah
hati perlu tabah menghadapi waktu sabar
dari luas seinci di jadikan lebar sejengkal
dari sejengkal dijadikan sehasta depa
dari sehasta depa dijadikan sehamparan sudah
begitu payah sebenarnya menyiapkan tikar keramat ini
begitu cantik pula siapnya memaparkan diri
siapa melihat menjadi terpegun amat akan coraknya
siapa menyentuh berasa halus amat akan seni dirinya

Inilah tikar merdeka terpilih binaan generasi lalu
jangan sekali – kali gadaikan ia kepada penjajah
jangan sekali – kali hamparkan ia kepada pembelot bangsa
jangan sekali – kali meletakkan nilai harganya kepada sesiapa
kerana tikar ini hanya untuk pejuang terbilang
kerana tikar ini hanya untuk rakyat berhati waja
kerana tikar tiada ternilai untuk di tukar ganti


Hanya kepadamu kami bersetia dan bersumpah
hanya kepadamu kasih kami tumpah melimpah
kamilah insan paling bertuah menduduki tikar merdeka ini
bersila dan berzikir hayat menyusun sejarah bangsa.
Previous PostCatatan Lama Laman utama