Zulkifli Ar-Rayyan's

"Word are most powerful drugs used by mankind"

Pengakhiran Sebuah Episod



1. Selama 273 hari, saya memegang amanah sebagai Exco Komunikasi Korporat, Alumni, Kelab & Fakulti untuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2014/2015 UiTM Kampus Alor Gajah Melaka. Suatu tempoh yang lama dan juga yang paling sekejap diantara barisan MPP sebelum ini.

2. Tugas yang diberi saya sahut sebolehnya, berbekalkan 710 majoriti undi dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media. Saya bersama rakan seperjuangan yang lain untuk bersama meneruskan aspirasi dan hasrat warga kampus dan juga harapan besar yang diberikan pihak fakulti.

3. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya tatkala diumumkan memenangi kerusi pilihanraya tersebut pada 8 Disember 2014 ialah Fakulti dan Universiti. Bagaimana saya dan Miza (selaku MPP Masscomm juga tatkala itu) untuk memberikan sesuatu kepada Fakulti dan apa yang kami perlu lakukan buat Universiti.

4. Setelah segala urusan berkaitan pentadbiran MPP selesai. Kami berusaha mengembleng buah fikir dan idea untuk bersama melakukan anjakan paradigma kepada Universiti. Kerana dibahu kamilah terpikulnya harapan lebih 7000 pelajar yang setia menanti sesuatu dari kami. Doa dan tawakal kami panjatkan kepada Dia saban hari agar semua urusan warga institusi dipermudah.

5. Saya akui berada di landasan ini tidak mudah. Hati perlu kental menghadapi waktu sukar, tidak mudah goyang pada cabaran yang menggugah. Pelbagai ujian dan cabaran kami lalui bersama sepanjang bergelar MPP dan tidak kurang juga pelbagai penghargaan yang diterima dari pelbagai pihak. Benarlah kata bijak pandai : Pemimpin itu diuji tak rebah, dipuji tak megah.

6. Memikul tanggungjawab portfolio tersebut juga tidak mudah, saya perlu mengimbangkan ke semua stakeholder yang terlibat seperti pihak Pentadbiran, Kementerian/Jabatan Kerajaan, NGO, IPTA/IPTS lain, pihak Alumni, Para Pensyarah, Pelajar, Pihak Fakulti dan Kelab Persatuan Dalaman serta lain-lain. Kayu ukur kepada komunikasi sesebuah organisasi tidak mudah dan itulah yang perlu saya jaga agar semuanya selaras dengan matlamat kami.

7. Alhamdulillah. Melalui portfolio saya, pelbagai usahasama dan perubahan telah berjaya dibentuk termasuk kerjasama dua hala dengan institusi luar serta membawa kepada penubuhan Sekretariat Persatuan Am (SPA) dan pemantapan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) yang merupakan dibawah bidang kuasa saya ketika itu. 

8. Beberapa inisiatif juga telah kami ambil untuk Fakulti pada ketika itu termasuk menyeru pihak Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media khususnya Kelab Komed yang bernaung dibawahnya untuk melakukan suatu perubahan melalui dasar pandang ke luar yang saya tekankan sejak menyandang jawatan YDP Persatuan Bahasa Melayu iaitu membawa warga Universiti memainkan peranan bersama pihak luar termasuk mengadakan beberapa program bertaraf antarabangsa seperti yang dilakukan Persatuan Bahasa Melayu dan SPA.

9. Secara peribadinya, saya amat mengagumi kerjasama baik yang dihulurkan oleh Fakulti dan Kelab Komed dibawah jagaan Saudari Shalina Sofia yang amat komited dalam memastikan kesepaduan dan pemantapan institusi dapat dicapai. Tahniah diatas komitmen tersebut!

10. Sekalung penghargaan juga saya ucapkan buat semua pihak termasuk Kementerian/Jabatan Kerajaan, Pihak Pentadbiran, HEP, HEA, pihak fakulti, semua bahagian dan unit dalaman UiTM Melaka, para pensyarah, para pelajar, rakan sejawatan serta organisasi dan individu luar yang memberikan kerjasama sepanjang kami bergelar MPP. Juga kerana telah banyak mengajar saya pelbagai ilmu dan perkara yang tidak saya ketahui. Moga Allah membalas segalanya, insya-Allah.

11. Buat barisan kepimpinan baru di segenap peringkat, buatlah yang terbaik dan jangan sesekali tanya apa negara boleh beri pada anda, tapi sebaliknya tanya apa yang anda boleh berikan kepada negara! Bersamalah dalam saf kepimpinan di semua peringkat dalam menghasilkan graduan yang berkualiti tinggi dan generasi Rabbani yang disegani.

12. Kami Mantan MPP 14/15 sentiasa bersama kalian insya-Allah. Selamat Maju Jaya dan Terima Kasih!




Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama