Zulkifli Ar-Rayyan's

"Word are most powerful drugs used by mankind"

Merintis Sebuah Kepimpinan



1. "Pemimpin yang hebat tidak lahir dari bilik kuliah tetapi lahir dari kancah masalah dan mereka yang sanggup keluar dari kepompong rakan sebaya." - Pak Nasir

2. Saya berpegang teguh kepada perinsip tersebut. Seseorang tidak boleh menjadi pemimpin dalam sekelip mata tetapi memerlukan masa yang panjang yang di dalamnya diisi dengan pelbagai pengorbanan, kesakitan, kepayahan dan cabaran.

3. Suatu ketika dahulu saya pernah ditanya seseorang : "Bagaimana untuk melahirkan suatu kepimpinan dalam organisasi." Jawapan saya mudah : "Berikan mereka masalah dan lihat perlakuan mereka dalam menyelesaikannya, mungkin ada yang tumbang dan ada yang gigih menyelesaikannya. Ambil yang gigih tersebut supaya dapat membantu yang tumbang."

4. Apa yang saya cuba ketengahkan ialah, seorang pemimpin itu lahir dari sebuah kegigihan yang memotivasikan dirinya, yang belajar dari kesilapan orang lain dan yang sentiasa waspada akan sekelilingnya.

5. Untuk memimpin juga, perkara asas yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin itu ialah faham akan konsep dan peraturan sekeliling supaya orang yang dipimpin juga faham perkara yang sama seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang faham dan peka.

6. Namun, jika kita lihat hari ini berapa ramai pemimpin yang faham konsep dan peraturan sekeliling ? Bahkan segala peraturan yang ada seolah cuba 'ditikam' dengan mata kasar.

7. Saya pernah bertanya kepada salah seorang calon kepimpinan mahasiswa : "Apa yang awak faham akan konsep UiTM sebagai institusi pendidikan Melayu dan Bumiputera ?" Matanya bersiar-siar seolah mencari jawapan dan mulutnya tersekat-sekat untuk melontarkan hujah. Lantas saya terus memotong percakapannya "Bagaimana anda mahu memimpin sedangkan anda tidak faham konsep utama UiTM ?" 

8. Pemimpin merupakan sebuah tonggak utama dalam sesebuah organisasi apatah lagi dalam kepimpinan mahasiswa. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap dari kita sebagai pemimpin untuk memahami konsep dan peraturan sekitar.

9. Soal utamanya ialah adakah layak seorang pemimpin 'buta' diangkat dan diberi pangkat ?

10. Memetik kata kata John C. Maxwell, "A leader is one who know the way, goes the way, and shows the way." 

11. Jelas di situ bahawa pemimpin itu ialah seorang yang mengerti, yang tahu dan yang faham dengan sejelasnya konsep persekitarannya. Dalam melahirkan kepimpinan mahasiswa, kita bukannya mencari 'Jaguh Sorak' tetapi kita mencari mahasiswa yang serba faham secukupnya mengenai segalanya supaya dapat membantu pihak institusi dan seterusnya dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

12. Saya menyarankan supaya saf kepimpinan di segenap peringkat supaya lebih peka dalam menghasilkan calon kepimpinan. Usah terlalu memikirkan kuantiti tetapi apa yang perlu diberi fokus ialah kualiti!

13. Kepimpinan yang dirintis dengan kefahaman dan ilmu yang secukupnya mampu membawa masyarakat bersama demi melahirkan masyarakat yang serba tahu dan merdeka dari fikiran kuno yang masih mempersoal dan menunding jari.


Previous PostCatatan Lama Laman utama